Keredhaan ibu bapa,keredhaan Allah jua



Firman Allah s.w.t. bermaksud: Dan Kami wajibkan
manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya
telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan
demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir
menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah
dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian)
bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu;
dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk
menerima balasan). ( Luqman: 14)

Huraian

Ibu bapa merupakan orang yang wajib kita hormati dan
taati. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di
dalam al-Quran dan hadis. Mengecilkan hati, melawan
atau mengherdik keduanya dianggap sebagai perbuatan
derhaka. Menderhaka kepada ibu bapa adalah satu dosa
besar dan tidak akan mencium bau syurga sekalipun
banyak beribadat kepada Allah s.w.t..

Ini disebabkan Allah s.w.t. tidak akan menerima ibadat
orang yang derhaka kepada ibu bapanya sebagaimana yang
tersebut di dalam al-Quran. Dalam satu hadis,
Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa keredhaan Allah
s.w.t. bergantung kepada keredhaan kedua ibu bapa. Ini
bermaksud bahawa sekiranya ibu bapa meredhai kita,
Allah s.w.t. turut meredhai kita. Sebaliknya jika
mereka marah dan berkecil hati terhadap kita, Allah
s.w.t. juga turut murka kepada kita.

Ketahuilah, sejak kita di dalam kandungan, ibu
menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu
juga setelah dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga kita
dengan penuh kasih sayang. Jika kita sakit, ibu tidak
lelap tidurnya. Mereka berkorban apa saja. Maka
setelah kita dewasa dan pandai berdikari, sanggupkah
kita mengecewakan hatinya? Oleh kerana besarnya
pengorbanan ibu bapa, maka sewajarnyalah Allah s.w.t.
mewajibkan kita mematuhi mereka.

Ganjaran di atas layanan kita terhadap ibu bapa
dibalas oleh Allah s.w.t. secara tunai semasa di dunia
lagi. Contohnya, jika kita mentaati mereka, anak-anak
kita akan taat kepada kita. Sebaliknya jika kita
menderhaka kepada mereka, anak-anak kita akan derhaka
pula kepada kita.

Kesimpulan:

Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan
bapa. Hakikat ini perlulah kita insafi. Jika mereka
tidak wujud di dunia, kita juga tidak akan lahir di
dunia ini. Oleh sebab itu, kita digalakkan mendoakan
mereka setiap kali selepas solat. Jika mereka masih
hidup, layanlah mereka dengan sebaik-baik mungkin.
Tetapi jika sudah meninggal dunia, selalulah
menziarahi tanah perkuburan di samping, mendoakan
kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan seperti
sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa.
Mereka akan menerima pahala tersebut. Itulah bukti
ketaatan yang dapat kita hulurkan terhadap mereka.


0 comments

Post a Comment