Kerajaan Perpaduan Bukan Masuk BN



Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau mencadangkan sebuah kerajaan perpaduan yang menggabungkan semua parti politik membentuk sebuah parti tanpa pembangkang, bukannya bergabung dengan Barisan Nasional (BN).

:Presiden Pas itu berkata, idea itu dicetuskan sebagai opsyen setelah Pakatan Rakyat (PR) tidak berjaya membuat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat pada masa itu.

"Kerajaan perpaduan ini bukan Pas pandai-pandai buat. Saya yang mencetuskan perkara ini kepada DAP dan PKR, saya mengemukakan opsyen baru itu untuk membuat perubahan politik bukan sahaja demi PR tetapi seluruh rakyat termasuk Barisan Nasional (BN).

"Kita telah mengalami masalah demokrasi yang semakin hari semakin menguncup termasuk dalam UMNO yang dilanda politik wang. Oleh itu saya mencadangkan kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti politik kerana ia bukan perkara baru. Kerajaan seperti ini pernah ditubuhkan di Britain, Afrika dan Indonesia," katanya.

:Hadi berkata demikian semasa sesi dialog bersama Sinar Harian sempena sesi lawatan beliau ke Kumpulan Karangkraf , semalam.



Beliau turut meluangkan masa hampir dua jam melihat operasi penerbitan dan percetakan Kumpulan Karangkraf sambil diiringi Pengarah Urusan, Datuk Hussamudin Yaacub.

Menurut beliau, idea beliau itu pernah dibincagkan bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Perdana Menteri itu menunjukkan keterbukaan:.

"Tetapi malangnya beliau baru sahaja masuk gear satu sudah diturunkan pangkat, setakat ini tiada perbincangan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana saya tidak faham lagi kepimpinan mereka yang ibarat baru nak hidupkan enjin...kita tak tahu definisinya lagi," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan ahli Pas berhubung kerajaan perpaduan yang dicetuskannya, Hadi berkata, bergantung kepada pemahaman mereka sendiri.

"Sekiranya mereka faham, mereka terima, apa yang berlaku hari ini bukan sahaja ahli Pas tetapi ahli UMNO seperti Tun Dr Mahathir pun tidak setuju, saya tidak tahu beliau faham atau tidak kerajaan perpaduan itu," katanya.

Ditanya mengenai desakan sesetengah kalangan parti supaya hanya golongan ulama yang patut menerajui Pas, Hadi berkata sejak dulu parti ini dipimpin ulama.

"Tetapi bagi saya isu itu tidak timbul, sebab ulama pun ada profesional juga. Saya tidak mahu sebut nama-nama mereka takut nanti orang kata saya tolong kempen untuk mereka.

"Apa yang penting dalam pas kita ada ramai ulama yang juga profesional. Kalau kita pilih golongan ini dia masih ulama, jadi tidak timbul soal kita ketepikan profesional. Pada saya ini bukan isu," katanya.

Sumber :www.sinarharian.com.my

0 comments

Post a Comment